“Sayang anak mama ni...anak mama yang comel ni”, ucap Dewi sambil tersenyum. Di elus lembut pipi bayi yang berada di pangkuannya. Dewi menitiskan airmata. Jururawat yang sedang menolak Dewi di kerusi roda cuma mendiamkan diri. Tidak lama kemudian terdengar esak tangis kepiluan yang menyayat hati. Bahu Dewi terhinggut-hinggut serentak dengan esak tangisnya. Tubuh bayi yang dibungkus dengan tuala bayi dipeluk erat. Ternyata bayi seberat 450 gram itu baru berusia enam bulan dalam kandungan langsung tidak bernafas biar sedetik pun. Kelahiran secara paksa itu untuk mengelakkan si ibu kehilangan nyawa jika bayi itu tidak segera dikeluarkan. Serta-merta jururawat itu turut mengalirkan airmata sambil mengusap bahu Dewi sebagai tanda memberinya semangat.
* * *
Seminggu sebelum itu.
“Kita dah tak boleh macam dulu lagi...” Begitulah ayat yang tertera di skrin apabila Dewi membuka peti masuk di telefon bimbit suaminya. Kerana rasa ingin tahu, Dewi membuka peti mesej dihantar. Ternyata ayat-ayat yang tertera di situ menyayat hatinya. Sangat mengguris perasaannya.
“Rindu sangat nak peluk awak rapat-rapat”. Satu persatu ayat tersebut terakam di kepalanya. Dewi memandang sayu ke arah sang suami yang sedang pulas tidurnya. Wajahnya sangat polos di dalam lenanya. Serentak itu juga airmatanya laju menuruni pipi. Kedinginan suaminya bersebab. Mungkin disebabkan inilah. Hatinya berteka-teki sendiri.
Jam di dinding berdenting dua belas kali. Sudah tengahmalam. Dewi tidak dapat melelapkan mata. Airmata masih bergenang di tubir mata. Dia mengiring ke kiri membelakangi suaminya. Tangannya mengusap lembut perutnya yang mulai kelihatan. Dewi sempat tersenyum ketika membayangkan bagaimanakah rupa bayi yang menghampiri usia enam bulan di dalam kandungannya itu. Namun dalam senyuman dia merasa sedih bila mengenangkan sikap suaminya yang berubah sejak akhir-akhir ini. Dewi asyik melayan perasaannya sehingga dia terlelap sendiri.
* * *
Tiga hari berikutnya, Dewi masih mendiamkan diri. Hajat hatinya sangat membuak-buak ingin bertanya tentang sms tersebut tetapi dia bimbang pertanyaannya itu akan membuahkan amarah suaminya. Akhir-akhir ini ada saja benda yang tidak kena di mata suaminya. Air kopi terlalu manislah. Masakan terlalu masinlah. Bergerak terlalu lembablah. Semuanya serba tak kena. Dewi cuma mampu mendiamkan diri bila sang suami memarahinya. Adakalanya suaminya tidur di ruang tamu tetapi tidak pula lupa untuk membawa sekali telefon bimbitnya. Dewi dibiarkan bersendirian di dalam bilik tidur.
Dewi pula sejak kebelakangan ini sering pening-pening dan sesak nafas. Tapi doktor telah menjelaskan kepadanya bahawa perkara itu adalah perkara biasa yang dialami oleh ibu yang sedang mengandung. Bila Dewi meminta suaminya untuk menyapukan minyak angin di kepalanya, pasti suaminya akan membebel. Macam-macam alasan diberi. Sampai akhirnya Dewi yang menyapu sendiri minyak angin di kepalanya.
Dan seperti biasa malam itu, Dewi bersendirian lagi. Terdengar suara suaminya seperti sedang berbual dengan seseorang. Dewi perlahan-lahan turun dari katil dan menguak sedikit daun pintu dan mengintai di sebalik pintu. Dilihatnya suaminya sedang menonton televisyen sambil berbual di telefon bimbit. Kedengaran nadanya agak mesra jika dibandingkan dengan nada ketika suaminya sedang memarahinya bila dia melakukan kesilapan. Dewi cuma mampu mengeluh berat. Dewi menutup pintu dan kembali duduk di sisi katil.
* * *
Sehari sebelum Dewi dikejarkan ke wad kecemasan, berlaku pertikaman lidah antara dia dan suaminya. Setelah hampir tiga tahun perkahwinan mereka, inilah kali pertama mereka bergaduh hebat. Semuanya gara-gara sms yang dibacanya di telefon bimbit sang suami.
“Dewi...apa yang kau masak ni?!Masinlah!!!Kau ni pandai masak ke tak?!Kalau tak pandai jangan memandai-mandai. Baik lagi aku makan di luar. Makan di rumah ni menyakitkan hati je. Semuanya nak masak masin-masin belaka”, tempelak Zainal secara tiba-tiba. Dewi yang ketika itu baru mahu menyuap nasi terus terbantut seleranya. Terkejut dia dengan sergahan suaminya itu. Dewi tunduk. Matanya mulai bergenang.
Zainal yang melihat perubahan wajah Dewi itu mencebikkan mulut. “Inilah orang perempuan. Bila ditegur sikit mulalah menangis. Eh...kau kalau dah tak nak layan aku, cakap je. Senang”, Zainal menujah dahi Dewi. Dewi masih membisu. Zainal mulai geram dengan gelagat Dewi.
“Eh...aku bercakap dengan dinding ke manusia ni. Dewi oi...kau dah tak reti nak bercakap ke? Apasal kau masak masin sangat hah? Kau sengaja nak naikkan darah aku kan?! Bini jenis apalah kau ni? Menyesal aku kahwin dengan kau. Lembab!”, Zainal berdiri di sebelah Dewi. Dewi masih membeku di tempat duduknya.
“Abang...terus teranglah dengan Dewi. Abang dah ada orang lain kan?”, Dewi akhirnya membuka mulut. Tapi wajahnya masih menunduk ke bawah. Zainal tersentak. Dia dah tau ke, dia bertanya dalam hati. Tetapi kerana egonya yang melangit, api amarah langsung merajai dirinya.
“Kau peduli apa? Yang kau tau duduk rumah goyang kaki. Dahlah lembab, menyakitkan hati aku je. “ Zainal membalas. Zainal merenung tepat ke arah Dewi. Renungannya itu sungguh tajam seolah-olah ingin ditelannya Dewi.
“Abang...tak payahlah nak berselindung. Dewi dah tau bang. Dewi nampak sms abang dengan dia. Abang kalau dah tak sayangkan Dewi lagi, lepaskan Dewi secara baik. Dewi takkan tuntut apa-apa dari abang. Abang pergilah dengan perempuan pilihan abang yang menggantikan Dewi”, Dewi mengangkat mukanya dan menentang mata suaminya. Sesungguhnya hatinya bagai ditoreh dengan pisau ketika mengucapkan kata-kata itu. Airmatanya semakin deras mengalir.
Serta merta tangan Zainal merentap rambutnya sambil menariknya ke ruang tamu. Dewi menjerit kesakitan dan minta dilepaskan namun jeritannya itu sia-sia kerana Zainal seperti orang yang hilang kewarasan. Dihempaskan tubuh Dewi ke sofa. Dewi mengaduh kesakitan tapi tidak diendahkan oleh Zainal.
“Kau nak minta cerai? Setelah aku bersusah-payah mendapatkan kau dulu? Kau ni memang jenis perempuan yang tak mengenang budi. Aku cari duit untuk menyara kau. Ibu bapa kau dah serahkan kau kepada aku. Maksudnya kau sekarang milik aku!” Zainal menampar pipi Dewi. Tangisan Dewi semakin rancak.
“Mulai hari ni, kau jangan sibuk nak periksa telefon aku. Aku tak izinkan. Kau nak derhaka dengan aku ye! Jangan sibuk nak ambil tau dengan siapa aku berhubung. Aku ni suami kau. Hormatlah sikit!” Zainal menolak kasar kepala Dewi dan terus meluru keluar. Kedengaran bunyi enjin kereta dihidupkan. Dewi masih lagi menangis di sofa.
Dirasakannya seluruh badannya sakit-sakit. Tiba-tiba dia terasa seperti ada sesuatu yang panas mengalir di pahanya. Bila Dewi melihat ke bawah, darah merah sudah mulai membasahi hujung kakinya. Dewi cemas. Dia segera mendapatkan telefon bimbitnya. Dia mendail nombor suaminya tetapi suaminya gagal dihubungi.
Dalam kesakitan, dia mendail nombor telefon teman baiknya. Zira sangat terkejut bila mendengar yang Dewi mengalami pendarahan. Dalam masa lima belas minit Zira tiba di depan rumahnya. Zira memecut laju menuju ke hospital. Dia sangat bimbangkan keadaan Dewi.
Tiba sahaja di perkarangan hospital di jabatan kecemasan, Dewi segera diusung dengan stretcher dan segera dimasukkan ke wad kecemasan. Zira masih cuba mendail nombor telefon Zainal tapi masih gagal.
* * *
Jenazah bayi itu sudah selamat dikebumikan petang itu juga sejurus selepas sehari Dewi ditahan di hospital. Zainal serta beberapa orang jiran tetangga baru pulang ketika Zira tiba di perkarangan rumah Dewi. Kelihatan wajah Zainal sugul tidak bermaya.
Zira terus masuk ke dalam rumah. Di ruang tamu kelihatan kedua orang tua Dewi dan Zainal. Mak Lijah, ibu kandung Dewi menunjukkan ke arah bilik tidur Dewi. Zira melangkah perlahan melintasi tetamu yang duduk di ruang tamu.
Zira menolak daun pintu perlahan-lahan. Dari sudut pandangan Zira kelihatannya seperti Dewi sedang duduk bersandar di katil sambil tangannya mengusap-usap sesuatu diribaannya. Apabila dia menghampiri Dewi ternyata Dewi sedang mengusap bantal yang dibungkus dengan tuala bayi. Dilihatnya pandangan mata Dewi tertumpu ke arah satu sudut sahaja. Namun, pandangan itu kosong. Wajah Dewi sangat pucat dan matanya bengkak setelah semalaman menangis tanpa henti.
Zira duduk di sisi katil menghadap ke arah Dewi. Bila Dewi sedar dengan kehadirannya dia segera memeluk Zira dan melampiaskan tangisannya dibahu Zira. Zira turut menangis. Dia sedih dan simpati di atas apa yang menimpa sahabat baiknya itu.
“Dewi...dahlah tu. Yang pergi tetap pergi. Kita yang hidup ni kena teruskan kehidupan. Tuhan lebih sayangkan dia”, dalam sendu Zira cuba memujuk hati temannya itu.
“Dia bunuh anak aku Zira. Dia bunuh cinta kami. Dia pembunuh Zira. Dia bunuh anak aku! Dia buat aku kehilangan anak aku! Anak dalam perut aku ni!” Dewi menjerit sambil memukul-mukul perutnya. Zira memeluk erat temannya itu dan menyuruhnya bersabar. Dewi menangis semahu-mahunya.
Zainal muncul di muka pintu. Di raut wajahnya terukir seribu penyesalan. Zira segera bangun untuk memberi ruang kepada Zainal untuk mendekati isterinya. Dewi mengambil semula bantal yang dibalutnya dengan tuala bayi yang digunakan untuk membalut mayat anaknya di hospital tempoh hari. Diusap-usap lembut bantal itu. Dewi tidak mengendahkan kehadiran suaminya.
Zainal mencapai tangan Dewi. Dewi tepis kasar tangan Zainal. Zainal mencuba lagi. Dewi tepis lagi. Tangannya rancak mengusap bantal itu.
“Sayang...abang minta maaf...” Zainal tidak mampu meneruskan kalimah bila dia menyaksikan tingkah Dewi. Dewi merenung tajam ke arahnya.
“Kembalikan anakku...” Lirih suara Dewi. Tapi matanya masih tajam memandang suaminya.
“Sayang...abang...abang minta maaf. Abang betul-betul menyesal...abang...” Zainal kematian kata-kata.
“Kembalikan anak aku!” Keras suara Dewi. Zainal meraih jari jemari Dewi dan mengucupnya tetapi segera ditarik oleh Dewi.
“Aku tak nak kau tunjukkan kasih sayang kau sekarang. Aku nak anak aku. Kembalikan anak aku! Kau bunuh anak aku. Kau pembunuh!!!” Dewi menjerit sekuat hati.
“Sayang...abang tak sengaja. Abang salah. Ya abang mengaku salah. Abang minta maaf. Tolonglah maafkan abang Dewi. Abang betul-betul menyesal sekarang. Bagitau abang apa perlu abang buat untuk tebus kesalahan abang”, Zainal merayu. Egonya langsung tiada. Dia menangis semahu-mahunya tanpa menghiraukan kehadiran Zira dan kedua ibu bapanya dan mertuanya.
Semua yang ada di dalam bilik itu turut mengalirkan airmata bila menyaksikan kejadian itu. Zira segera keluar. Tidak sanggup rasanya melihat situasi yang menyedihkan itu. Beberapa tetamu mulai beransur pulang seakan faham dengan situasi yang melanda.
Dewi masih lagi erat memeluk bantal itu. Dia mulai meracau-racau sesuatu tapi kurang jelas didengar. Namun, tingkahnya seolah-olah sedang bercakap dengan seseorang.
“Sayang mama...bapa kau tak guna. Dia dah bunuh sayang. Tapi jangan takut mama ada sayang. Mama sayang dengan anak mama ni”, Dewi menuturkan kata-kata itu ke arah bantal yang dipeluk erat. Berulangkali dia mengucapkannya. Zainal yang menyedari hal itu semakin menggila tangisnya. Dewi mulai mengucup bucu bantal itu dan menepuk lembut bantal itu seolah-olah seorang ibu menidurkan anaknya. Kedua ibu bapa serta mertuanya segera mendapatkan Zainal.
Zainal di bawa ke ruang tamu dan ditenangkan oleh bapa kandungnya. Sementara itu ibunya dan ibu mertuanya cuba menenangkan Dewi. Ternyata Dewi sudah tenggelam dalam dunianya sendiri. Dia mulai menganggap bahawa bantal itu adalah bayinya. Dia sudah tidak mempedulikan kehadiran ibunya serta ibu mertuanya. Keadaan ini membimbangkan semua orang kerana ditakuti Dewi gila meroyan.
* * *
Sudah sebulan lebih Dewi dibawa balik ke kampungnya untuk berubat secara tradisional untuk memulihkan semangatnya. Namun segala usaha membuahkan kegagalan kerana Dewi masih dalam dunianya sendiri. Dewi juga telah dibawa berjumpa dengan pakar psikologi namun jawapan yang diterima amatlah menghampakan kerana Dewi mengalami tekanan perasaan yang teruk menyebabkan dia tidak dapat membezakan yang mana realiti dan yang mana dunia ciptaannya sendiri. Adakalanya dia akan ketawa bahagia seolah-olah dia telah dapat melupakan kisah hitam itu. Tetapi selepas itu dia akan menangis sehari semalam dan kadangkala enggan tidur dan selalu kelihatan bercakap-cakap sendiri. Zainal pernah mengalihkan bantal itu dari sisi Dewi tapi bila Dewi tersedar dia mengamuk dan mendesak Zainal untuk mengembalikan “anak”nya itu.
* * *
Zainal terduduk di hujung tangga rumah mertuanya. Hadirin yang beransur pulang mengucapkan takziah dan ada juga yang menyuruhnya bersabar. Setelah hampir setengah tahun menderita, akhirnya Dewi kembali ke pangkuan penciptaNya.
Seribu penyesalan sudah tidak berguna lagi. Zainal kehilangan insan yang sangat disayanginya. Sementelahan itu dia teringatkan gadis yang dicurigai oleh arwah isterinya. Sejurus selepas dia keluar meninggalkan Dewi pada malam mereka bertengkar, dia segera menghubungi gadis itu dan mendesaknya berjumpa pada malam itu juga. Hajat dihati ingin segera memiliki gadis itu kerana dirasakannya dia dan isterinya sudah tidak sefahaman lagi.
Dia mematikan telefon bimbit selepas menghubungi gadis itu. Ternyata bila dia menunggu di tempat pertemuan mereka gadis itu tidak muncul. Dan bila dia mendapat khabar dari gadis itu selepas dia menghidupkan semula telefon bimbitnya, dia merasakan seperti langit itu runtuh di atas kepalanya. Zira mengatakan yang isterinya pendarahan dan bayi mereka tidak sempat melihat dunia.
Ya. Ziralah gadis yang selalu dihubunginya. Zira teman rapat arwah isterinya. Dahulunya mereka pernah berkasih dan putus gara-gara salah faham sebelum dia bertemu dan bercinta dengan Dewi. Ternyata Dewi dan Zira merupakan teman rapat semenjak sekolah lagi akan tetapi terputus hubungan setelah masing-masing membawa haluan selepas tamat persekolahan. Mereka bertemu semula di hari persandingan mereka yang diadakan di rumah mertuanya. Sejak itu, dia sering menghubungi Zira dan selalu bertemu secara rahsia tanpa pengetahuan Dewi. Zira yang serba salah kerana masih sayang dengan Zainal dan dalam masa yang sama tidak sampai hati untuk mengkhianati teman baiknya. Namun Zainal sering mendesak dan merayu untuk Zira kembali kepadanya dan dia sanggup untuk menyunting Zira sebagai isteri keduanya. Zira tetap menolak kerana sayang dengan temannya itu. Zira juga tidak dapat mengelak untuk terus berhubung dengan Dewi untuk mengelakkan Dewi curiga kepadanya.
Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata akhir arwah isterinya sebelum menghembuskan nafas di depan matanya. “Abang...maafkan Dewi bang. Halalkan segala makan minum Dewi selama hidup bersama abang. Dewi akan pergi menemui anak kita bang. Anak kita. Dewi mohon ampun dan maaf di atas segala kesilapan yang Dewi pernah lakukan yang mengguris perasaan abang. Dan permintaan Dewi yang terakhir, kahwinilah Zira bang. Dewi tau abang cintakan dia. Terima kasih kerana sanggup mengorbankan cinta abang kerana Dewi. Dewi tak tau abang dan Zira bekas kekasih. Sehinggalah malam itu bila Dewi terbaca sms abang dan dia. Dewi minta maaf kerana Dewi rampas abang dari dia. Dewi tak tau”, Dewi menggenggam erat tangan Zainal.
“Sayang mengucap sayang. Jangan cakap yang bukan-bukan. Bukan salah sayangpun. Itu semua takdir sayang. Abang yang silap. Selama ini abang buta dengan perasaan abang sendiri. Abang telah mengkhianati kepercayaan sayang. Abang ternyata salah menilai. Sayanglah cinta abang dunia dan akhirat”, Zainal cuba menenangkan isterinya yang ketika itu sedang bertarung dengan kesakitan yang dialaminya.
“Abang...maafkan Dewi ya bang.”, nafas Dewi semakin menurun. Tidak lama selepas itu, kedua kelopak mata Dewi tertutup rapat. Zainal tersandar. Bapa mertuanya menutup wajah Dewi dengan kain selimut. Zainal terkedu. Dunia bagaikan berputar. Dia meraup wajah dan beristighfar seraya mengucap.
No comments:
Post a Comment