Tuesday, November 12, 2013

Untitled : Bab 1






Aku terbiasa bersendiri. Bukan dipulaukan. Tapi, aku yang memulaukan diri. Entah kenapa, aku sedar perkara ini sebenarnya sejak aku mula pandai mengingati sesuatu peristiwa. Entah berapa umurku ketika itu. Aku selalu dalam duniaku. Aku lihat mereka ketawa riang bergembira. Aku ingin masuk ke kelompok mereka. Tapi, semacam ada satu dinding tebal yang memisahkan antara duniaku dan dunia mereka. Sementelahan lagi, mereka juga semacam suka aku berkelakuan begitu. Ah, persetankan mereka. Aku cuma buat benda yang aku suka yang tidak ada kaitan langsung dengan mereka. 'Tapi, mereka darah dagingmu', hati berkata. 'Kalau betul mereka darah dagingku, mengapa mereka biarkan aku kesendirian begini? Aku punya perasaan. Aku juga punya hati. Tidakkah sekelumitpun mereka memahami aku?' Hati berdialog sendiri. Hebatnya aku ketika itu kerana mampu bertutur dengan hati menggunakan kata-kata yang agak indah sedangkan perbualan harianku menggunakan bahasa pasar. Aku peduli apa. Ini cerita aku. Sukahati akulah nak pakai bahasa manapun. Hahaha, hati ketawa lagi. Muka tiada reaksi.

* * *

Jari-jemariku terhenti menekan punat di papan kekunci komputer milik pejabat. Aku culas lagi. Mencuri masa di waktu pejabat dengan menulis di dalam blog kesayanganku. Tapi, adalah lebih baik aku begini daripada aku keluar berpeleseran pada waktu pejabat. Waktu pejabat adalah waktu di mana jasad aku perlu berada di pejabat. Isn't that obvious? Hahaha, wah makin hebat aku bertutur di dalam Bahasa Inggeris biarpun hanya di dalam hati. Hakikatnya, apabila berdepan dengan client, lidahku berbelit biarpun sekadar hanya ingin menyebut yes or no hahaha. Hakikatnya juga apabila aku sebenarnya hanya manusia biasa yang masih mencari-cari ilmu untuk dipenuhkan di dada. 

Aku suka mengimbas kembali kenangan-kenangan manis pada masa silamku. Di mana aku bergembira, bergelak ketawa, riang ria dan senang hati. Tapi, sering juga imbasan itu diselang-selikan dengan kenangan-kenangan pahit yang seboleh-bolehnya aku ingin terus ia lenyap dari mindaku. Adakala, biarpun ketika memandu aku pandai tiba-tiba terkenang peristiwa hitam yang lama. Dan tiba-tiba juga secara automatik mata ini akan berkaca-kaca. Tidak adil! Sangat tidak adil! Minda ini sering membuatku terasa bersalah. Mengapa perlu memikirkan perkara yang bukan-bukan ketika memandu? Bukankah akan membahayakan diri sendiri? Susah jika berbalah dengan akal dan fikiran. Ada sahaja jawapan-jawapan yang tidak memuaskan hati tetapi adakala logik. Huh!

Jika orang lain membaca nukilanku kali ini pasti mereka tertanya-tanya atau berkira-kira sama ada penulisnya ini sudah gila atau apa. Inilah luahan rasa hati aku yang aku tidak sanggup untuk menuturkannya secara lisan biar dengan sesiapapun. Tidak dengan suamiku, tidak dengan kawan baikku, tidak dengan mana-mana kawan mahupun ahli keluarga, saudara-mara. Tidak! Jika aku luahkan pun, mampukah mereka memahami? Mampukah mereka meletakkan diri mereka di dalam situasi diriku? Mampukah mereka memadam rasa amarah dan dendam durjana yang bersarang dalam  hati ini sekian lama? Mampukah?!

1 comment:

Anonymous said...

Salam kenal . jom join GA ni . hadiah best menanti blogger : Simple Holiday Giveaway By SN