Showing posts with label untitled. Show all posts
Showing posts with label untitled. Show all posts

Tuesday, November 19, 2013

Untitled : Bab 3


Cepat sekali masa berlalu. Aku baru balik semalam setelah berkursus di Bintulu sejak hari Jumaat yang lalu. Hari ini pula hari Selasa. Aku masih dilanda kemalasan yang luarbiasa. Hari ini aku berselipar ke pejabat. Kasut wedges aku patah semasa berada di Bintulu. Itu mungkin menandakan bahawa aku harus menurunkan berat badan. Berat badan. Cerita berkaitan berat badan, aku sangat bangga dengan figure badanku sewaktu aku masih remaja. Yalah, bukanlah solid molid sangat tapi boleh dikatakan badan aku fit dulu.

Apa tidaknya, balik dari sekolah terus makan tengahari. Lepas makan tengahari, seawal jam 2 petang aku sudah berbasikal ke perpustakaan. Bukannya menelaah pelajaran pun. Hanya sekadar membaca novel ataupun membaca majalah kesukaanku iaitu Archipelago. Kalau belum sampai majalah terbaru Archipelago, aku akan membelek majalah Going Place keluaran MAS. Malaysia Airlines ya bukan MAS MONA hehe. Berbalik kepada topik tadi, ya aku sememangnya suka membaca. Paling wajib untuk aku baca ialah buku berkenaan Sabah Below The Wind. Buku tu sangat tebal dan banyak gambar. Sememangnya aku pada masa itu selalu terpegun dengan kecantikan gambar yang dimuatkan di dalam buku tersebut. Memandangkan aku lahir di daerah Kuala Penyu, Sabah maka aku sentiasa memuji akan keindahan negeri Sabah biarpun kini aku berhijrah ke negeri sebelah iaitu Sarawak.

Ok, semacam sudah menyimpang dari isu asal. Dulu aku sangat aktif bersukan. Badminton, bola tampar, aktiviti riadah luar bersama rakan-rakan dan macam-macam aktiviti aku buat. Di sekolah pun aku selalu menjadi wakil rumah sukan ataupun sekolah untuk acara-acara ini ditambah lagi dengan acara padang iaitu lompat tinggi, merejam lembing, melontar cakera dan acara balapan 200 meter dan 1500 meter. Tidak percaya? Terpulanglah. Biarpun susuk tubuh badanku kecil atau kemetot atau kalau dalam bahasa Sabah biasanya digunakan istilah pindik-pindik tegap (pendek-pendek tegap), tapi aku memang macam lipas kudung hahaha. Ya, itu dulu. Tahun 2001, apabila aku berpindah ke daerah Sandakan di situ aktiviti aku terhenti. Tiada lagi badminton, tiada lagi bola tampar. Daerah Sandakan itu sendiri asing bagi aku apatah lagi isi kandungan di dalamnya. Sebulan aku culture shock. Sebulan aku berendam airmata dan meronta-ronta mahu balik ke daerah Kuala Penyu. Ketika itu aku berusia 16 tahun dan dipindahkan ke Sandakan untuk bersekolah di Sandakan. Aneh bukan? Sebab ibu bapaku masih berada di Kuala Penyu waktu itu. Bapaku masih berkhidmat sebagai anggota polis. Ya, aku menumpang berteduh di rumah makcik sebelah mak aku. Paling tepat, adik ketiga mak aku memandangkan mak aku anak sulung.

Dan bila mengimbas kembali tentang bentuk badan aku, betapa aku ingin kembali solid. Tapi, adakah mungkin. Sekarang tahun 2013, aku sudahpun mempunyai 2 orang anak. Selepas melahirkan anak kedua, berat badan aku naik mendadak. Mungkin disebabkan oleh suntikan perancang keluarga yang aku ambil. Mungkin hormon di badan aku terganggu. Mungkinkah juga disebabkan oleh selera makanku yang semakin membuas sejak akhir-akhir ini? Segalanya mungkin.
Aku sebenarnya masih memikirkan apakah tajuk yang sesuai untuk aku letak pada bakal novel yang aku tulis separuh mati ini? Di dalam kepala otakku yang agak kurang bergeliga sekarang ini, aku ingin letak Blogku, Diariku. Atau Blogku, Hidupku?

Haih.

Tuesday, November 12, 2013

Untitled : Bab 2


09.09.1985. Hari aku dilahirkan. Hari aku menemui dunia yang aku tidak tahu apa isi di dalamnya. Aku tidak kenal sesiapa melainkan aku kenal detak jantung ibuku. Ya. Bau badan dan degup jantung ibuku aku sangat kenal. Manakan tidak, aku berada di dalam rahimnya selama 9 bulan 9 hari. Untung aku kerana lahir tepat pada waktunya. Aku sentiasa terdengar orang tua-tua bercerita, kebiasaannya ibu mengandung selama 9 bulan 9 hari atau 10 hari. Itu yang selalu tepat. Kata orang tua. Bukan kata saya. Hehe...

* * *

Ketuk ketak ketuk ketak. Jari-jemari masih lagi menaip. Kali ini sudah masuk ke bab 2. Wah, laju juga idea aku datang mencurah-curah ke ladang gandum. Aku menginginkan saat ini ada seseorang yang akan membawaku berbual. Bercerita tentang apa saja.

Sebenarnya emosi aku pada hari ini stabil. Seawal jam 4.00 pagi itu memang normal. Itu memang waktu mata ini automatik akan terjaga sebelum anak-anak merengek minta dibuatkan susu. Aku rindukan anak-anak di kala ini. Entah apakah yang mereka lakukan sekarang? Mungkin sedang bermain. Atau mungkin sedang didodoi oleh sang suamiku? Suamiku. Seorang yang sangat hebat pada pandanganku. Di kala aku keluar mencari rezeki, dia menyinsing lengan baju membantuku untuk menjaga anak-anak di rumah. Bukan dia tidak mahu mencari rezeki untuk anak-anak dan isteri. Tidak, dia bukan seorang dayus. Akan tetapi dalam situasi di mana kami masih baru di sini, dan ibu mertuaku pula sibuk dengan aktiviti berladangnya, kami tidak mempercayai orang lain selain saudara mara untuk menjaga permata hati kami. Natijahnya, sang suamilah yang terpaksa berkorban. Aku? Aku tidak boleh mengorbankan masa kerja aku sedangkan di dalam hati aku meronta-ronta mahu menjaga mereka. Sehinggakan aku pernah menginginkan jawatan surirumah sepenuh masa yang bergaji. Hahaha. Hanya impian semata-mata.

* * *

" Siti, kamu sudahkah buat lawatan kemajuan?" Tiba-tiba boss menerjah ke ruangan kerjaku. Aku tersentak sedikit. Terkejutpun ada.
"Belum boss, " aku tersengih kelat. Aku sudah kedapatan menculas masa. Aduhai!

"Kamu tahukan 15hb ini kamu kena isi SKT? Dan kamu masih belum membuat lawatan kemajuan. Saya mahu sehingga 15hb ini kamu buat 20 lawatan kemajuan. Alaaa...ambil saja majikan di sekitar-sekitar sini", nada boss sangat tegas. Aku telan liur.

"Kamu tanya dengan Encik Mardi tentang apa saja berkaitan lawatan kemajuan ya", boss memandang tepat ke arahku. Aku hanya mampu tersenyum kelat. Kelat sungguh. Detak jantungku sangat laju. Ya lah, biarpun bossku adalah sama jantina dengan aku tetapi aku tetap hormat dengan boss. Sebab dia bosslah.

Aku mengangguk laju. Boss berlalu pergi. Aku menyambung sedikit tulisanku sebelum aku bergerak keluar. Kali ini boss membenarkan aku berpeleseran di luar untuk membuat kerja. Kerja. Bukan berfoya-foya. Titik!

Untitled : Bab 1






Aku terbiasa bersendiri. Bukan dipulaukan. Tapi, aku yang memulaukan diri. Entah kenapa, aku sedar perkara ini sebenarnya sejak aku mula pandai mengingati sesuatu peristiwa. Entah berapa umurku ketika itu. Aku selalu dalam duniaku. Aku lihat mereka ketawa riang bergembira. Aku ingin masuk ke kelompok mereka. Tapi, semacam ada satu dinding tebal yang memisahkan antara duniaku dan dunia mereka. Sementelahan lagi, mereka juga semacam suka aku berkelakuan begitu. Ah, persetankan mereka. Aku cuma buat benda yang aku suka yang tidak ada kaitan langsung dengan mereka. 'Tapi, mereka darah dagingmu', hati berkata. 'Kalau betul mereka darah dagingku, mengapa mereka biarkan aku kesendirian begini? Aku punya perasaan. Aku juga punya hati. Tidakkah sekelumitpun mereka memahami aku?' Hati berdialog sendiri. Hebatnya aku ketika itu kerana mampu bertutur dengan hati menggunakan kata-kata yang agak indah sedangkan perbualan harianku menggunakan bahasa pasar. Aku peduli apa. Ini cerita aku. Sukahati akulah nak pakai bahasa manapun. Hahaha, hati ketawa lagi. Muka tiada reaksi.

* * *

Jari-jemariku terhenti menekan punat di papan kekunci komputer milik pejabat. Aku culas lagi. Mencuri masa di waktu pejabat dengan menulis di dalam blog kesayanganku. Tapi, adalah lebih baik aku begini daripada aku keluar berpeleseran pada waktu pejabat. Waktu pejabat adalah waktu di mana jasad aku perlu berada di pejabat. Isn't that obvious? Hahaha, wah makin hebat aku bertutur di dalam Bahasa Inggeris biarpun hanya di dalam hati. Hakikatnya, apabila berdepan dengan client, lidahku berbelit biarpun sekadar hanya ingin menyebut yes or no hahaha. Hakikatnya juga apabila aku sebenarnya hanya manusia biasa yang masih mencari-cari ilmu untuk dipenuhkan di dada. 

Aku suka mengimbas kembali kenangan-kenangan manis pada masa silamku. Di mana aku bergembira, bergelak ketawa, riang ria dan senang hati. Tapi, sering juga imbasan itu diselang-selikan dengan kenangan-kenangan pahit yang seboleh-bolehnya aku ingin terus ia lenyap dari mindaku. Adakala, biarpun ketika memandu aku pandai tiba-tiba terkenang peristiwa hitam yang lama. Dan tiba-tiba juga secara automatik mata ini akan berkaca-kaca. Tidak adil! Sangat tidak adil! Minda ini sering membuatku terasa bersalah. Mengapa perlu memikirkan perkara yang bukan-bukan ketika memandu? Bukankah akan membahayakan diri sendiri? Susah jika berbalah dengan akal dan fikiran. Ada sahaja jawapan-jawapan yang tidak memuaskan hati tetapi adakala logik. Huh!

Jika orang lain membaca nukilanku kali ini pasti mereka tertanya-tanya atau berkira-kira sama ada penulisnya ini sudah gila atau apa. Inilah luahan rasa hati aku yang aku tidak sanggup untuk menuturkannya secara lisan biar dengan sesiapapun. Tidak dengan suamiku, tidak dengan kawan baikku, tidak dengan mana-mana kawan mahupun ahli keluarga, saudara-mara. Tidak! Jika aku luahkan pun, mampukah mereka memahami? Mampukah mereka meletakkan diri mereka di dalam situasi diriku? Mampukah mereka memadam rasa amarah dan dendam durjana yang bersarang dalam  hati ini sekian lama? Mampukah?!